UMNO Libaran, penduduk kampung gotong royong baiki jambatan gantung ‘viral’

UMNO Libaran, penduduk kampung gotong royong baiki jambatan gantung ‘viral’

Sandakan: UMNO Libaran dengan kerjasama penduduk kampung mengambil inisiatif bergotong royong membaiki jambatan gantung usang yang tular kerana membahayakan keselamatan murid di Kampung Nelayan Tengah, di sini.

Gotong royong itu dilaksanakan hari ini dengan diketuai sendiri oleh Ketua UMNO Libaran yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Suhaimi Nasir.

Jawatankuasa UMNO Libaran dan penduduk kampung bergotong royong membaiki jambatan gantung usang Kampung Nelayan Tengah, Sandakan.

Menerusi perkongsian di laman Facebook beliau, Suhaimi berkata tindakan segera diambil sejurus keadaan jambatan itu tular semalam.

“Alhamdullilah, atas insiatif UMNO bahagian Libaran dan penduduk kampung, kerja gotong royong membaik pulih jambatan gantung Kampung Nelayan Tengah Batu 10, yang viral semalam telahpun dapat dimulakan dan disiapkan untuk digunakan dalam keadaan yang lebih baik dan selamat oleh penduduk sekitarnya,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, turut mengarahkan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) menyegerakan pembaikan jambatan itu demi keselamatan pengguna terutama murid sekolah.

Dalam pada itu, Suhaimi menjelaskan keadaan jambatan berkenaan sudah diberikan perhatian sebelum ini dan tindakan awal sudah diambil bersama MPS untuk menilai kos pembaikan.

“Untuk pengetahuan semua pada 28 November lalu saya dan YB Mokran Ingkat (ADUN Sungai Manila) membuat lawatan kerja bersama pihak MPS yang turut dihadiri Timbalan Presidennya, Faridah Giau dan jurutera MPS.

“Hasil daripada lawatan itu, MPS bersetuju untuk melaksanakan kerja pembaikan selepas pengiraan kos anggaran dan peruntukan dikeluarkan untuk melantik kontraktor.

“Saya akan berusaha sebaiknya agar kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf jambatan dapat dijalankan secepat yang boleh untuk keselesaan dan keselamatan penduduk sekitar,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|