PBS tidak pernah tukar pendirian mengenai isu PATI di Sabah – Joniston

PBS tidak pernah tukar pendirian mengenai isu PATI di Sabah – Joniston

Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak pernah berganjak daripada pendiriannya berhubung isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Joniston Bangkuai, menegaskan parti itu ikhlas untuk membendung masalah berkenaan dan konsisten dengan pendiriannya sejak sekian lama.

Beliau berkata, cadangan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili sebelum ini supaya isu itu dibincangkan oleh penggubal undang-undang di Sabah melalui jawatankuasa khas antara parti jelas menunjukkan kesungguhan PBS dalam perkara itu.

Katanya, pada Jun 2020, Maximus juga mengetuai delegasi kepemimpinan tertinggi PBS menyerahkan memorandum yang mengandungi cadangan penyelesaian masalah PATI kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan mengikuti perkembangannya secara berterusan.

Antara cadangan PBS, katanya ialah meminta kerajaan menggunakan hasil siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) berkaitan PATI dan hasil ‘Projek IC’ sebagai rujukan untuk menangani masalah PATI yang sudah lama berlarutan.

“Maximus juga menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memohon agar ‘Undi 18’ di Sabah dilaksanakan selepas Daftar Pemilih Negeri dibersihkan daripada pengundi meragukan yang mana jumlah mereka sangat ramai di negeri ini.

“Malah, PBS juga membuat temujanji dengan Pengerusi SPR bagi menyatakan dan membincangkan kebimbangan kita. PBS masih menunggu ia (mesyuarat) menjadi kenyataan, walaupun terdapat banyak tindakan susulan.

“Pendirian kami mengenai PATI dan ‘Projek IC’ tidak pernah goyah, malah kita akan terus mencari jalan penyelesaian yang paling sesuai kepada masalah ini,” katanya mengulas gesaan bekas Senator PBS, Dr Chong Eng Leong meminta Maximus menyatakan pendiriannya dalam isu ‘Projek IC’.

Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, berkata perjuangan untuk membebaskan Sabah daripada masalah PATI yang dimulakan PBS kekal sebagai salah satu isu utama yang diketengahkan oleh parti itu sejak penubuhannya pada 1985.

Tegasnya, PBS sangat konsisten dalam isu itu dan ia dibuktikan menerusi penubuhan biro khas mengenai PATI yang diketuai oleh seorang pemimpin kanan parti sejak penubuhannya pada 1985.

Katanya, biro itu kini diketuai Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Radin Malleh yang selama ini menjadi antara yang aktif dalam mengetengahkan isu PATI.

Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, cadangan Maximus untuk menubuhkan jawatankuasa khas bipartisan adalah bertepatan kerana Sabah mempunyai kuasa muktamad ke atas imigresen.

Jelasnya, kuasa negeri akan diperkukuhkan lagi apabila Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kini menjadi sebahagian daripada perlembagaan berikutan kelulusan Artikel 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini.

“Kita sedar mengenai isu yang dibangkitkan oleh Dr Chong Eng Leong tetapi adalah tidak betul untuk mengatakan bahawa PBS mengubah pendiriannya dalam isu PATI.

“PBS akan sentiasa menentang kehadiran mereka di Sabah dari dulu, kini dan selamanya. Sabah adalah untuk rakyat Malaysia yang tulen sahaja.

“Kami berharap apabila jawatankuasa khas antara parti dibentuk, setiap permasalahan akan dikupas bagi menentukan punca masalah ini agar dapat mencari penyelesaian yang sewajarnya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|