Mayat kedua ditemui terdampar di pantai

Mayat kedua ditemui terdampar di pantai

Kudat: Mangsa kedua yang dilaporkan hilang bersama abang sepupunya ketika memasang pukat di Pantai Pirate Point, Kampung Parapat laut, akhirnya ditemui terdampar di pantai berkenaan, pagi tadi.

Mayat Aewaeindar Fedelix Olliong, 20, ditemui penduduk kampung kira-kira jam 8 pagi tidak jauh dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Mangsa kedua yang ditemui pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, mayat kedua-dua mangsa termasuk Maclin bin Majaun, 29, yang dilaporkan hilang pada Khamis lalu sudah ditemui.

“Operasi Carilamat kedua-dua mangsa diaktifkan sejurus menerima maklumat berhubung dua lelaki dilaporkan hilang ketika memasang pukat di perairan terbabit.

“Mayat pertama ditemui pada jam 6 petang semalam dan mayat kedua ditemui jam 8 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya lagi, kedua-dua mayat sudah disahkan oleh ahli keluarganya sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Operasi yang turut dibantu oleh PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM) ditamatkan dengan penemuan kedua-dua mayat itu,” katanya.

Sebelum ini, dua nelayan yang juga bersepupu dikhuatiri lemas ketika keluar memukat di kawasan berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|