Kemuka penyata bank palsu, 19 kontraktor ditahan SPRM

Kemuka penyata bank palsu, 19 kontraktor ditahan SPRM

Kota Kinabalu: Seramai 19 kontraktor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai mengemukakan penyata bank palsu kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Menurut sumber, semua penyata bank berkenaan dianggarkan bernilai kira-kira RM49 juta sebagai dorongan untuk menyertai tender beberapa sekolah di seluruh Sabah.

Katanya, semua suspek berusia antara 24 hingga 53 tahun terbabit ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kota Kinabalu, kira-kira jam 10 pagi, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

“Semua suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan sembilan wanita itu akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, S Karunanithy berkata, sepanjang tahun 2020, SPRM Sabah berjaya menahan seramai 39 kontraktor yang dipercayai mempunyai modus operandi sama membabitkan nilai kontrak berjumlah lebih RM80 juta.

Katanya, susulan daripada tangkapan berkenaan, sebanyak 132 pertuduhan berjaya dilaksanakan di Mahkamah Khas Rasuah di Sabah tahun lalu.

“SPRM memandang serius berhubung kesalahan tersebut dan susulan daripada kes-kes berkenaan, beberapa aktiviti pencegahan dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan.

“Antara usaha yang dilaksanakan ialah mengadakan beberapa sesi penerangan kepada pihak kontraktor seperti penganjuran seminar integriti bersama kontraktor hasil kerjasama antara Kementerian Kewangan Negeri Sabah dengan SPRM Sabah pada 25 Ogos 2020,” katanya.

Tambah beliau lagi, pada 27 Mac tahun lalu, SPRM Sabah juga turut mengadakan Forum Anti Rasuah: Peranan Kontraktor Dalam Menangani Rasuah hasil kerjasama antara SPRM Sabah, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Sehubungan itu, S Karunanithy turut mengingatkan golongan kontraktor supaya tidak mengemukakan sebarang dokumen palsu bagi tujuan memasuki mana-mana kontrak kerajaan kerana ia adalah kesalahan serius.

Di samping itu katanya, Persatuan-Persatuan Kontraktor juga disarankan mengambil langkah proaktif dengan mengingatkan ahli-ahli mereka supaya jangan sesekali terlibat dengan kesalahan-kesalahan berkaitan.

“SPRM Sabah akan sentiasa bekerjasama dengan persatuan kontraktor bagi mendidik serta meningkatkan kesedaran golongan tersebut supaya mereka tidak terlibat dengan mana-mana salah laku khususnya kesalahan berkaitan rasuah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|