Covid-19 Sabah: Jangkitan baharu di bawah 2,000 kes hari ini

Covid-19 Sabah: Jangkitan baharu di bawah 2,000 kes hari ini

Kota Kinabalu: Sabah terus merekodkan penurunan jangkitan baharu Covid-19 dengan pengurangan sebanyak 353 kes kepada 1,778 kes hari ini berbanding 2,131 kes yang dilaporkan semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata jumlah kes hari ini juga adalah yang pertama di bawah 2,000 selepas kenaikan mendadak kes bermula bulan lalu.

Katanya, Kota Kinabalu masih menjadi penyumbang utama kes harian di Sabah dengan sebanyak 511 kes hari ini, turun 166 kes berbanding 677 kes semalam.

Beliau berkata kes daftar lewat di daerah ini yang banyak mempengaruhi jumlah kes harian sebelum ini juga berkurangan dengan hanya 71 kes tertangguh melebihi lima hari dilaporkan hari ini.

“Secara keseluruhan, terdapat tanda-tanda ke arah penstabilan jumlah kes harian. Sebagai perbandingan 17 daerah mencatat penurunan jumlah kes baharu berbanding lapan daerah yang merekodkan pertambahan.

“Hanya tiga daerah mencatatkan kes baharu pada kadar tiga angka iaitu Kota Kinabalu sebanyak 511 kes, diikuti Penampang (206 kes) dan Tuaran (168 kes).

“Sebanyak 21 daerah mencatat kes baharu dua angka dan tiga daerah lain masing-masing merekodkan kes baharu satu angka,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Sementara itu, Masidi berkata, penstabilan dan penurunan kes baharu banyak bergantung kepada sikap masyarakat dalam mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Jelasnya, sikap masyarakat menjadi penentu utama kepada kejayaan memerangi ancaman Covid-19.

“Peratusan kes simptomatik yang berpunca daripada jangkitan sporadik dalam komuniti masih terlalu tingggi, iaitu 65.47 peratus pada hari ini.

“Peratusan tinggi jangkitan sporadik adalah punca utama penularan virus dengan cepat dan meluas. Mengikut statistik hari ini, kes simptomatik yang berpunca daripada jangkitan sporadik adalah penyumbang utama kes baharu di 23 daripada 27 daerah di Sabah,” katanya.

Katanya, sebanyak 1,745 atau 98.14 peratus daripada 1,778 kes baharu hari ini berara dalam Kategori 1 dan 2, diikuti 11 pesakit dalam Kategori 3, manakala 13 orang dalam Kategori 4 dan sembilan orang dalam Kategori 5.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 5 Mac 2022
Sabah 1,778 (2,131)

Kota Kinabalu 511 (677 )
Penampang 206 (199)
Tuaran 168 (145)
Papar 97 (122)
Tawau 91 (98)
Beaufort 86 (94)
Kota Belud 83 (100)
Keningau 77 (97)
Sipitang 59 (54)
Sandakan 54 (63)
Kota Marudu 54 (58)
Lahad Datu 46 (19)
Tenom 41 (67)
Kuala Penyu 26 (45)
Ranau 24 (23)
Tongod 20 (20)
Beluran 18 (17)
Nabawan 17(16)
Pitas 17 (28)
Tambunan 16 ( 64)
Putatan 15 (36)
Kalabakan 12 (8)
Kudat 11 (28)
Telupid 10 (23)
Kinabatangan 9 (18)
Semporna 6 (6)
Kunak 4 (6)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 4 Mac 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|