Prestasi hambar PH punca WARISAN bertanding di Johor – Azis Jamman

Prestasi hambar PH punca WARISAN bertanding di Johor – Azis Jamman

Kota Kinabalu: Prestasi hambar Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak tahun lalu punca Parti Warisan (WARISAN) mengambil langkah bertanding di Johor untuk memberi pilihan kepada rakyat di negeri itu.

Ketua Wira WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, keputusan pilihan raya di kedua-dua negeri adalah petunjuk jelas bahawa pengundi tidak lagi menyokong PH.

“Justeru, penglibatan WARISAN dalam PRN Johor adalah bagi memberikan alternatif kepada pengundi yang sudah muak dan bosan dengan polemik politik kaum dan agama.

“Tuduhan DAPSY Sabah yang mendakwa WARISAN bersekongkol dengan UMNO menunjukkan parti itu terdesak akibat kemerosotan sokongan kepada DAP,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya lagi, Ketua Milenial DAPSY Sabah, Chan Loong Wei mungkin gagal menyedari dia terjerumus ke dalam perangkap Pemuda UMNO Sabah untuk melaga-lagakan DAP dengan WARISAN bagi mengalihkan perhatian pengundi daripada kegagalan UMNO.

“Jika DAP sememangnya tidak pernah menolak mana-mana parti pembangkang untuk bertanding di Semenanjung kerana ia adalah hak demokrasi setiap parti, maka DAP tidak sepatutnya mempersoalkan langkah WARISAN bertanding di Johor.

“Kami sudah bosan dengan lakonan PH di Parlimen. Mereka mengeluarkan kata-kata marah dan mengibas tangan mereka di hadapan televisyen, namun di sebalik tabir, mereka telah membuat perjanjian untuk berkecuali.

“Jika UMNO lahir di Istana Johor, mungkin Johor juga merupakan negeri kelahiran WARISAN di bumi Semenanjung. Sejarah telah membuktikan bahawa rakyat Sabah boleh menerima parti-parti yang lahir di bumi Semenanjung,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Sepanggar itu lagi, dalam kemelut politik yang melanda negara ketika ini selain rakyat hilang kepercayaan terhadap ahli politik, WARISAN adalah parti yang boleh menjadi pilihan untuk rakyat Johor.

“Berdasarkan track rekod, WARISAN terbukti mempunyai prinsip dan mengutamakan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu berbanding kepentingan peribadi.

“WARISAN serius dan ikhlas untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih progresif dan bersatu.

“WARISAN selama ini konsisten dan enggan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan yang akan menjadikan pembangkang tidak berkesan dan tanpa tujuan lagi.

“WARISAN berada di sini untuk membina satu negara, tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|