Cuba seludup petrol ke negara jiran

Cuba seludup petrol ke negara jiran

Semporna: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mematahkan cubaan tekong menyeludup keluar minyak petrol ke negara jiran di perairan Kampung Batu, di sini, semalam.

Tekong yang mengemudi bot enjin sangkut dikesan sepasukan anggota bot ronda Maritim Malaysia Semporna dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan rondaan jam 12.15 tengah malam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, ketika dihampiri untuk pemeriksaan tekong bot mengemudi bot ke kawasan cetak lalu bertindak terjun melarikan diri ke daratan berhampiran.

Katanya, pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemui tong berisi minyak petrol dengan anggaran sebanyak 750 liter.

“Semua minyak petrol itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.

“Nilai rampasan termasuk bot dengan dua enjin berjumlah RM17,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot serta dalam disebalik kegiatan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sementara itu, Norrimi berkata, pihaknya akan meningkatkan rondaan dan penguatkuasan di sekitar kawasan ‘hotsport’ terutama di sempadan perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukkan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negeri ini melalui jalan laut.

Katanya, Maritim Malaysia menyerus kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau lain-lain kegiatan jenayah maritim supaya menyalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau talian MERS 999.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|