Penunggang motosikal maut digilis lori 10 tan

Penunggang motosikal maut digilis lori 10 tan

Kota Kinabalu: Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis sebuah lori 10 tan dalam kejadian di Jalan Batayan Minintod, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala selepas digilis lori 10 tan berkenaan sejauh kira-kira 14 meter.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Demak EX90 bergerak dari arah belakang lori berkenaan.

Katanya, mangsa kemudiannya bertindak memotong lori berkenaan namun dikatakan hilang kawalan dan terus terjatuh ke bawah lori.

Mangsa dilaporkan cuba memotong lori 10 tan berkenaan namun dilaporkan hilang kawalan sehingga terjatuh ke bawah lori berkenaan.

“Mangsa digilis sejauh 14 meter bersama motosikalnya di bahagian tayar belakang lori. Akibat daripada kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala.

“Semasa kejadian, terdapat kenderaan lain yang turut berada di belakang lori berkenaan dan dapat l merakam keseluruhan kejadian menggunakan perakam dashcam kenderaannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, rakaman kejadian sudah diserahkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, mangsa dan pemandu lori tidak disyaki mabuk namun, sampel darah akan diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi pemeriksaan kandungan alkohol dan dadah.

“Ketika kejadian, keadaan cuaca baik dan permukaan jalan rata. Manakala keadaan lalu lintas juga dilaporkan tidak sibuk.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|