Kota Marudu: Pencarian kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang dikhuatiri lemas di sungai Kampung Malangkap Darat, di sini, semalam berakhir apabila mayatnya ditemui, pagi ini.
Mayat Elzanatira Asod, ditemui penduduk kampung dan pasukan bomba yang melakukan pencarian jam 11.15 pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diserta Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA bermula pada jam 7 pagi tadi selepas ditangguhkan pada jam 7.30 malam semalam.
Katanya, operasi SAR hari kedua itu dilakukan di kawasan sepanjang sungai dan menemui seluar milik mangsa kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa hilang oleh penduduk kampung.
“Pencarian kemudian diteruskan dan kanak-kanak terbabit akhirnya ditemui oleh penduduk kampung bersama pasukan penyelamat kira-kira tujuh kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia dan serahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi SAR seterusnya ditamatkan pada 12.30 tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam, Elzanatira dipercayai hilang dibawa arus ketika menyeberang sungai berkenaan bersama ibunya untuk pulang ke rumah dari kebun.
Berikutan itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang menerima panggilan kejadian itu pada 6.04 petang dan menggerakkan operasi mengesan kanak-kanak terbabit.
-Deasoka