Dokumen pengenalan diri tamat tempoh, dua warga Indonesia ditahan

Labuan: Dua juragan bot nelayan warga asing ditahan selepas didapati membawa dokumen pengenalan diri tamat tempoh dalam operasi di kedudukan 22 batu nautika, perairan Labuan, di sini, semalam.

Dalam rondaan rutin Op Benteng dan Op Khas Pagar Laut yang diadakan itu, kedua-dua warga Indonesia terbabit dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Dua juragan bot nelayan asing ditahan selepas didapati membawa dokumen pengenalan diri tamat tempoh di perairan Labuan.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, hasil pemeriksaan, bot nelayan tempatan berkenaan dikendalikan empat kru warga Indonesia berusia 22 hingga 37 tahun.

Katanya, dua daripada kru terbabit didapati memiliki dokumen pengenalan diri yang sudah tamat tempoh.

Pasukan Maritim Malaysia menjalankan pemeriksaan ke atas bot nelayan asing di perairan Labuan.

“Bot nelayan, nakhoda kapal bersama semua kru kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, jika sabit kesalahan.

Menurutnya, tindakan kedua-dua suspek yang didapati tinggal di negara ini tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan jenayah.

“Oleh itu, komuniti maritim dinasihatkan supaya sentiasa menghormati serta mematuhi undang-undang yang termaktub di dalam perlembagaan.

“Ia bagi mengelakkan diri daripada terbabit dengan sebarang salah laku di perairan negara,”tegasnya.

Sementara itu, Nudin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim boleh disalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Labuan menerusi talian 087-427999 atau melalui talian kecemasan MERS 999.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|