Mayat dua beradik ditemukan, kakak masih hilang

Mayat dua beradik ditemukan, kakak masih hilang

Tawau: Dua daripada tiga mangsa bot karam di perairan Batu Payung, di sini, semalam ditemukan lemas, hari ini.

Mayat Jaidi Muhaimin berusia lima tahun ditemui penduduk kampung di pesisir pantai pada jam 6.30 pagi tadi manakala abangnya, Saiful ditemui di perairan Tinagat pada jam 8.58 pagi.

Pasukan bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat tiga beradi dikhuatiri lemas di perairan Kampung Batu Payung, Tawau. Pix Ihsan Bomba

Manakala, kakak kepada kedua-dua mangsa terbabit, Rahena, 20, masih belum ditemui setakat ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga beradik dimulakan kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Katanya, seramai lima anggota dari BBP Tawau terbabit dalam SAR dengan dibantu oleh pelbagai agensi dan penduduk kampung untuk operasi ini.

“Kejadian bot karam ini melibatkan sembilan mangsa di mana enam berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung dan tiga lagi dilaporkan hilang semalam.

“Bagaimanapun, dua mangsa sudah dijumpai hari ini dan seorang lagi mangsa masih hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Julis berkata, operasi SAR mangsa turut melibatkan daripada pelbagai agensi penyelamat dan penduduk kampung.

“Operasi mencari mangsa masih dilakukan dengan bantuan pelbagai pihak membabitkan 30 anggota daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk kampung.

“Jumlah keseluruhan aset untuk mencari mangsa adalah sebanyak 24 bot termasuk empat dari agensi pasukan penyelamat manakala 20 adalah daripada penduduk kampung sendiri,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 4.30 petang semalam, bot yang dinaiki sembilan sekeluarga karam ketika dalam perjalanan ke Kampung Batu Payung.

Dalam kejadian itu, Rahena dan dua adiknya Saiful dan Jaidi dikhuatiri lemas manakala enam lagi sempat diselamatkan penduduk kampung.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|