Tanah runtuh di laluan Kampung Bongkud

Tanah runtuh di laluan Kampung Bongkud

Ranau: Sebuah kawasan di Kampung Bongkud, di sini, mengalami kejadian tanah runtuh sehingga menghalang jalan keluar di kampung berkenaan, hari ini.

Bagaimanapun dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, tiada laporan berlaku sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.50 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba dan penyelamat terus menutup jalan bagi memastikan tiada individu mendekati runtuhan.

“Selain itu, pasukan bomba juga melakukan kerja-kerja memindahkan tanah runtuhan serta memotong pokok tumbang” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba turut memaklumkan penduduk berhampiran supaya berwaspada untuk tujuan keselamatan.

Katanya, pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.20 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|