Latika Andaian Op Banjir IPD Kota Kinabalu

Latika Andaian Op Banjir IPD Kota Kinabalu

Kota Kinabalu: Latika Andaian Op Banjir Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu diadakan bagi memantapkan lagi kesiapsiagaan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pelbagai agensi penyelamat lain di bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, ia adalah persediaan awal untuk berdepan sebarang kemungkinan di masa hadapan terutamanya ketika monsun timur laut ketika ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah

Katanya, latihan kali ini membabitkan 24 pegawai dan 60 anggota daripada PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Dengan adanya latihamal ini, kita akan dapat meningkatkan persediaan mental dan fizikal petugas dan logistik untuk mengendalikan sebarang bencana.

Presiden MBS, Abqaree menyampaikan sumbangan bot ringan dan enjin sangkut kepada Mohd Zaidi.

“Malah ia juga dapat memantapkan lagi sistem pengurusan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK),” katanya ketika ditemui selepas selesai program Latika Andaian OP Banjir, IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pusat PKTK adalah nadi kepada usaha menyelamatkan mangsa dan harta benda yang terlibat dalam setiap insiden.

“Sekiranya PKTK ini lambat diaktifkan, maka usaha-usaha menyelamat juga sudah pasti berdepan kesukaran akibat kelemahan dari aspek pengurusan antara agensi, operasi terlewat ataupun terbantut.

“Usaha menyelamat membabitkan pebagai agensi ini perlu dijalankan secara bersepadu selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara 20 (MKN20),” katanya.

Menurutnya, pemantapan latika andaian ini juga membabitkan penugasan pasca banjir seperti penghantaran balik mangsa-mangsa selain penyaluran bantuan keperluan dan bantuan tenaga manusia seperti pembersihan rumah ibadat dan sebagainya.

Sementara itu, pada program yang diadakan hari ini, IPD Kota Kinabalu turut menerima sumbangan dua bot ringan untuk kegunaan sekiranya berlaku bencana.

Bot ringan yang disumbangkan bersama dua enjin sangkut berkenaan disampaikan Presiden Majlis Belia Sabah, Abqaree Fawwaz Abekan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|