Mangsa banjir dipindahkan terus meningkat

Mangsa banjir dipindahkan terus meningkat

Kota Kinabalu: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Sabah meningkat kepada 1,161 orang membabitkan 399 keluarga setakat tengah hari ini berbanding 717 mangsa daripada 212 keluarga, pagi tadi.

Jumlah itu direkodkan di lima daerah yang terjejas setakat ini di kawasan pantai timur dan utara iaitu Kota Marudu, darah kecil Paitan, Beluran, Sandakan dan Telupid.

Daerah Kota Marudu mencatat mangsa tertinggi setakat ini dengan 969 orang, diikuti daerah Sandakan dengan 61 mangsa, daerah kecil Paitan (50 mangsa), Telupid (43 mangsa) dan Beluran dengan 38 mangsa.

Berdasarkan maklumat bencana negeri Sabah dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah yang dikongsikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, semua mangsa dipindahkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, tujuh PPS dibuka di Kota Marudu, tiga di Telupid, dua PPS di Paitan dan masing-masing satu di Sandakan serta Beluran.

Selain lima daerah terbabit, beberapa kawasan rendah di tiga daerah lain iaitu Kinabatangan, Lahad Datu dan Ranau turut dilapor mengalami banjir.

Laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah selaku sekretariat JBPN menunjukkan jumlah kampung terjejas banjir setakat ini paling banyak di daerah kecil Paitan iaitu 16 kawasan, diikuti Kota Marudu (10 kampung), Telupid (dua) dan masing-masing satu di Beluran serta Sandakan.

Kampung terjejas banjir di Paitan ialah Batangon Darat,Batangon Laut, Kabuluh, Sokoon, Simpangan, Tebatu, Dalamas, Sungai Tangkarason, Musinggapu, Binsulung, Tolungan Pamol, Tagas-Tagas, Basai, Tolungan, Puru Batu / Lakang dan Kampung Polis Tagas-Tagas.

Di Kota Marudu pula, kampung terjejas banjir ialah Asin – Asin, Beliajung, Tingkalanon, Tongkungon, Taritipan, Morion, Tandek, Popok Laut, Radu dan Langkon.

Dua kampung pula dilanda banjir di Telupid setakat ini iaitu Rancangan Nangoh dan Bakong-Bakong, manakala Kampung Sungai Memanjang di Sandakan dan Balaban di Beluran.

Sementara itu, di Ranau, dua kampung dilanda banjir setakat ini iaitu di Lungkidau dan Matupang, manakala Taman Khazanah Indah di Lahad Datu serta Kampung Jaya Baru di Kinabatangan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|