38 kawasan berpotensi banjir dikenalpasti

38 kawasan berpotensi banjir dikenalpasti

Kota Kinabalu: Sebanyak 38 perumahan dan kampung di daerah ini dikenalpasti sebagai kawasan berpotensi tinggi banjir setiap kali berlaku hujan lebat.

Bagaimanapun, kawasan ini dipecahkan kepada dua kategori iaitu 24 kawasan kategori ‘A’ yang kerap berlaku banjir manakala selebihnya diletakkan sebagai kategori ‘B’ dalam Pelan Tindakan Operasi (PTO) Op Banjir.

Mohd Zaidi ketika berucap pada Program Latika Andaian OP Banjir di IPD Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, semua kawasan ini adalah di Inanam, Manggatal dan Luyang yang terletak dalam kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Katanya, hasil daripada penetapan ini, kesiapsiagaan pasukan penyelamat membabitkan pelbagai agensi sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan insiden bencana.

“Kedua-dua kategori ini dibahagikan berdasarkan kepada potensi banjir seperti kategori ‘A’ di mana kemungkinan dinaiki air setiap kali hujan lebat amat tinggi.

“Manakala bagi kategori ‘B’ pula adalah kawasan yang kurang risiko banjir,” katanya ketika ditemui selepas selesai program Latika Andaian OP Banjir, IPD Kota Kinabalu.

Mohd Zaidi berkata, melalui pecahan kategori, operasi penyelamat akan dapat digerakkan dengan lebih mantap dan efisyen.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|