Banjir: Seorang ditemui lemas, seorang lagi masih hilang

Banjir: Seorang ditemui lemas, seorang lagi masih hilang

Beluran: Seorang lelaki ditemukan lemas manakala seorang lagi masih hilang berikutan banjir yang melanda daerah ini sejak dua hari lalu.

Kejadian berlaku di dua lokasi berasingan iaitu di Kuala Penubukan Paitan dan Kampung Kinadaan.

Antara lokasi yang dinaiki air banjir di Beluran.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, mangsa pertama dilaporkan hilang ketika memukat di Kuala Penubukan, Paitan, 31 Disember lalu.

“Mangsa Rajis Nawang, 28, yang bekerja sebagai nelayan dikatakan memasang pukat di Kuala Penubukan sebelum disedari hilang oleh bapanya.

“Mangsa kedua dikenali sebagai Kaerul, 26, yang bekerja ladang dihanyutkan air deras ketika cuba menyeberang jalan Kampung Kinadaan, pada 31 Disember lalu.

“Ketika kejadian dipercayai paras air mencecah 1.5 meter dari paras jalan. Kejadian itu disedari oleh majikannya sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dijalankan sejak 31 Disember lalu di sekitar lokasi kejadian.

“Mangsa pertama ditemui jam 12.30 tengah hari semalam di pokok bakau kira-kira 1.5 kilometer dari tempat kejadian.

“Mangsa kedua masih belum ditemui dan operasi SAR diteruskan di sekitar Kampung Kinadaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|