Jalan masuk Kompleks Sukan Ranau terputus akibat tanah runtuh

Jalan masuk Kompleks Sukan Ranau terputus akibat tanah runtuh

Ranau: Jalan masuk ke Kompleks Sukan Ranau, di sini, terputus selepas mengalami kejadian tanah runtuh, hari ini.

Bagaimanapun dalam kejadian jam 11.30 pagi itu tidak membabitkan sebarang laporan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.35 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba dan penyelamat mendapati benar berlaku kejadian tanah runtuh yang menutupi keseluruhan jalan raya berkenaan.

“Selain itu, pasukan bomba terus bertindak memasang sawar-sawar bagi menghalang kenderaan melalui jalan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau juga turut menghubungi pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan kes tanah runtuh untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.10 tengah hari.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|