Kim Swee tidak letak sasaran besar

Kim Swee tidak letak sasaran besar

Kota Kinabalu: Sabah FC tidak meletakkan sebarang sasaran besar meskipun dilihat mampu memberikan saingan sengit dalam aksi Liga Malaysia musim ini.

Perkara itu dinyatakan Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee ketika mengulas misi skuad Sang Badak dalam aksi baharu musim ini khususnya dalam Liga Super nanti.

Beliau bagaimanapun menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan barisan pemain baharu Sabah FC untuk bersaing dengan pasukan hebat seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC, Selangor FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Jelasnya, pendekatannya tidak meletakkan sebarang sasaran adalah untuk memastikan pemain Sabah FC tidak tertekan ketika bermain bagi menunaikan misi yang ditetapkan.

Namun, katanya beliau percaya anak buahnya mampu melaksanakan tugasan yang diamanahkan dengan baik bagi meletakkan Sabah FC sebaris dengan pasukan hebat lain.

“Saya percaya mereka tahu apa yang mereka boleh lakukan dan ingin lakukan. Paling penting adalah kita sentiasa konsisten untuk mencapai kemenangan tidak kira apa juga perlawanan dihadapi pada musim ini.

“Setiap pasukan pastinya memerlukan pemain yang berpengalaman selain pemain muda. Ini adalah strategi jangka masa panjang skuad Sang Badak.

“Kita boleh ketengahkan mereka pada bila-bila masa. Kita sudah ada beberapa pemain berpengalaman termasuk Apek, Baddrol, Rizal, Rawilson, Saddil dan pemain import lain.

“Ini sudah pasti akan memberi satu keyakinan yang tinggi kepada Sabah FC,” katanya dalam satu kenyataan media di Kota Kinabalu hari ini.

Pasukan Sabah FC musim 2022 dibarisi beberapa pemain kebangsaan termasuk Apek atau nama penuhnya, Khairul Fahmi Che Mat selaku penjaga gol baharu pasukan bersama Damien Lim yang sebelum ini beraksi bersama Negeri Sembilan FC.

Turut bersama Sabah kali ini ialah bekas kapten KDA FC, Baddrol Bakhtiar dan rakan sepasukannya Rizal Ghazali.

Sabah FC turut mengekalkan pemain tempatan, Rawilson Batuil dan pemain import dari Indonesia Saddil Ramdani yang beraksi dalam musim sebelum ini.

Kim Swee berkata dalam tempoh sama juga Sabah FC mempunyai perancangan untuk mencungkil bakat pemain muda tempatan menerusi pasukan supaya dapat mempelajari ilmu daripada pemain berpengalaman sedia ada.

“Apa yang boleh kita lakukan bersama-sama dalam liga terutamanya, kita harus mempunyai pemain berpengalaman termasuk tenaga import berkaliber yang dapat beraksi secara konsisten dalam saingan Liga Super 2022 nanti,” katanya.

Mengulas mengenai Apek yang juga penjaga gol kebangsaan yang sah menyertai pasukan Sabah FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini, Kim Swee berkata kehadiran beliau mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi gawang Sabah FC.

“Salah satu kelemahan kita pada musim lalu ialah di bahagian penjaga gol. Kehadiran Apek pasti akan menguatkan lagi pasukan terutamanya di bahagian pertahanan.

“Langkah ini penting untuk kita membina sesuatu terutamanya melalui penjaga gol yang berpengalaman dan boleh membimbing pemain muda serta penjaga gol muda di Sabah apabila dia berada di sini nanti,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|