Kota Kinabalu: Mangsa yang maut akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Numbak, di sini, pagi tadi dipercayai pergi ke tempat kejadian bagi mencari tin minuman dan besi buruk untuk dijual.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, berdasarkan siasatan awal, pihak percaya mangsa terkena renjatan elektrik akibat penyambungan haram.
Katanya, siasatan di tempat kejadian juga tidak menunjukkan berlakunya sebarang tanda-tanda unsur perbuatan jenayah yang boleh dikaitkan sebagai punca kematian mangsa.
“Mangsa dikenali sebagai Jeffri Kassim berusia 37 tahun. Mayat mangsa sudah dirujuk ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan selanjutnya.
“Kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang hadir di lokasi turut mengesahkan terdapat kabel elektrik yang disambung secara haram dan mengambil tindakan memutuskan sambungan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
George berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut (SDR) namun siasatan lanjut akan diteruskan selepas proses bedah siasat.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa ditemui tidak sedarkan diri dan terbaring di kawasan berlumpur berhampiran jambatan kayu kecil di kampung berkenaan.
Polis yang hadir sebaik menerima laporan kemudiannya menghubungi pasukan pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memeriksa keadaan mangsa.
Sebaik disahkan meninggal dunia, mayat mangsa kemudiannya diangkat oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.
-Deasoka