Maut terkena renjatan elektrik

Kota Kinabalu: Seorang lelaki maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Jalan Yayasan Kebagu, Kampung Numbak, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa berusia 37 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir membantu di lokasi kejadian.

Lelaki yang ditemui meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik di Kampung Numbak, Jalan Yayasan Kebagu, Kota Kinabalu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.03 pagi.

Katanya, sepasukan empat anggota dan pegawai bersama van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

Pasukan penyelamat mengangkat mayat mangsa dari lokasi kejadian di Kampung Numbak, Jalan Yayasan Kebagu, Kota Kinabalu.

“Pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) turut hadir di lokasi kejadian untuk memutuskan bekalan elektrik sebelum pasukan operasi membantu mengangkat mangsa.

“Mangsa kemudiannya disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.02 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|