Panggil bomba cabut botol tersangkut di lidah

Ranau: Keriangan seorang kanak-kanak menikmati air minuman bertukar pengalaman buruk apabila lidahnya tersangkut pada botol minuman berkenaan di rumahnya, di Kampung Lohan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa yang berusia enam tahun dibawa ke Klinik Kesihatan Ranau untuk mendapatkan bantuan.

Anggota bomba membuka botol minuman yang tersangkut pada lidah kanak-kanak terbabit

Namun pihak pegawai perubatan gagal membuka botol minuman berkenaan dan terpaksa mendapatkan bantuan khidmat khas pasukan bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.49 petang

Katanya, sepasukan dua anggota dan pegawai bersama van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke rumah mangsa untuk membantu.

“Sebaik tiba di hospital berkenaan, pasukan operasi mendapati lidah seorang kanak-kanak lelaki tersangkut pada mulut botol minuman.

“Pasukan bomba kemudian menggunakan peralatan khas dan berjaya menanggalkan botol minuman yang tersangkut pada lidah kanak-kanak terbabit,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sebaik botol minuman itu berjaya dibuka dan mangsa terus mendapatkan rawatan lanjut di hospital berkenaan.

Katanya, pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.40 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|