‘Settle down’ isu lompat parti baru pilihan raya – Bung Moktar

‘Settle down’ isu lompat parti baru pilihan raya – Bung Moktar

Kota Kinabalu: “Kita ‘settle down’ isu ini baru pilihan raya,” tegas Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berhubung isu lompat parti ketika berbahas pada Persidangan Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Persidangan itu membincangkan isu lompat parti yang menjadi agenda utama memorandum persefahaman (MoU) di antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha merealisasikan Akta Anti Lompat Parti.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah, berkata senario politik negara yang dikaitkan dengan amalan melompat parti sangat memalukan dan atas sebab itu ia perlu dihentikan.

“Saya adalah Ahli Parlimen yang konsisten menentang lompat parti ini. Ia adalah perbuatan khianat, tidak bermaruah dan tidak berintegriti walau dengan apa alasan sekalipun.

“Ia hanya penipuan dan pembohongan semata-mata, melompat kerana kepentingan diri sendiri, dapat jawatan, kuasa,” katanya yang juga Ketua UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah.

Beliau menekankan, sebagai ahli politik, mereka tidak seharusnya takut terhadap sebarang tekanan kerana sudah menjadi lumrah politik sentiasa berdepan dengan fitnah dan tohmahan.

Jelasnya, berikutan itu ahli politik sepatutnya sentiasa bersedia berdepan dengan pelbagai ancaman dan cabaran seumpama itu.

“Kalau kalah, ‘respect’ lah yang menang, ini lompat. Moga-moga mereka ada keinsafan.

“Kerana merekalah negara ini kucar-kacir, malu di peringkat antarabangsa. Anak kecil pun terdidik, tahu lompat parti, ‘what this is’ bah.

“Jadi, kita ‘settle down’ isu ini baru kita pilihan raya, cukup-cukuplah. Yang ada kes mahkamah, hadapilah.

“Macam saya, banyak juga tekan lompat sana, lompat sini, tapi saya kata tidak. Sejak dulu prinsip saya tiada lompat-lompat,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu turut menyifatkan mereka yang melompat parti sebagai penjenayah, pengkhianat dan penipu.

“Dia bertanding guna parti, duit parti, bila menang lompat. Mereka ini ‘mau kasi tingu itu video munyit lumpat telampau tinggi-tinggi’.

“Cukuplah, ‘we stop with this’, mereka lompat jatuh ke bawah. Undang-undang ini (Anti Lompat Parti) mesti juga melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Saya menyokong dan pastikan bulan Mei ini kita adakan sidang khas untuk bincangkan Akta Lompat Parti pula,” katanya.

Bung Moktar adalah antara 59 Ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan berkaitan isu lompat parti pada persidangan khas berkenaan.

Persidangan sehari itu pada mulanya dijadual membentangkan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan lompat parti.

Bagaimanapun, semua Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang hadir pada persidangan khas itu bersetuju untuk merujuk terlebih dahulu pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan ke Jawatankuasa Pilihan Khas sebelum dibentangkan pada persidangan khas Parlimen akan datang.

RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan itu dilakukan bagi membolehkan Akta Anti Lompat Parti digubal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|