Kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan syarikat penerbangan luaskan penerbangan terus ke Sabah

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan yang mahu meluaskan laluan penerbangan terus ke negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, kerjasama itu sudah tentu akan meningkatkan lagi ketibaan pelancong ke Sabah.

Katanya, menerusi penerbangan sulung Firefly secara terus dari Pulau Pinang ke Kota Kinabalu hari ini diharap akan menggalakkan lagi industri pelancongan di negeri ini.

“Seperti yang semua maklum bahawa Sabah hanya boleh diakses melalui laluan udara dengan menggunakan pesawat jadi dengan terpilihnya Sabah sebagai destinasi Firefly akan memudahkan laluan atau akses terutama rakyat di negara kita dan juga pelancong.

“Jadi saya mengalu-alukan warga tempatan untuk datang ke Sabah dan teroka Sabah dari segi tempat-tempat yang menarik dan juga kebudayaan terkenal dengan kemajmukannya,” katanya ketika ditemui media selepas menyambut ketibaan penumpang bagi penerbangan sulung Firefly dari Pulau Pinang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Noraidah Othman.

Tambah Jafry lagi, laluan terus dari Pulau Pinang ke Kota Kinabalu sudah tentu memberi manfaat termasuk menggalakkan ketibaan pelancong asing ke Sabah.

“Ketika ini kita sudah ada penerbangan terus dari utara Semenanjung dan Pulau Pinang berhampiran dengan Langkawi di mana Langkawi merupakan destinasi pelancongan yang menerima pelancong dari luar negara secara penerbangan terus.

“Jadi kita mengharapkan dengan terbukanya laluan Pulau Pinang-Kota Kinabalu ini akan menambahkan lagi signifikan jumlah kepada pelancong asing ke Sabah,” katanya.

Sementara itu, wakil Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) yang juga Ketua Pegawai Operasi MASWings, Kapten Nasaruddin A Bakar berkata, Firefly membawa seramai 100 penumpang dari Pulau Pinang ke Kota Kinabalu manakala 116 penumpang dari Kota Kinabalu ke Pulau Pinang bagi penerbangan sulung syarikat terbabit.

Diminta mengulas berhubung isu kenaikan harga tambang tiket ke Sabah menjelang perayaan ketika ini, Nasaruddin menjelaskan bahawa harga tiket bergantung kepada permintaan dan penawaran bagi tiket berkenaan.

“Buat masa ini tempahan awal tiket Firefly mendapat sambutan mengalakkan iaitu 80 peratus tempahan tiket telah diterima bagi sepanjang perayaan dan hari cuti.

“Secara kasarnya bagi setiap syarikat penerbangan harga bergantung kepada permintaan dan penawaran. Jadi ia bergantung kepada waktu tarikh dan kekosongan tempat duduk, jadi kami galakkan penumpang menempah lebih awal,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|