Masalah gaji punca pergaduhan dua kumpulan lelaki

Masalah gaji punca pergaduhan dua kumpulan lelaki

Kota Kinabalu: Polis mengesahkan kejadian pergaduhan dua kumpulan di hadapan sebuah kilang makanan laut di Sepanggar, di sini, hingga tular di media sosial, sejak semalam tidak membabitkan unsur-unsur kongsi gelap.

Sebaliknya, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, ia berpunca kepada rasa tidak puas hati bekas pekerja kepada majikan, rakan kongsi yang gagal menjelaskan baki gaji tertunggak.

Mohd Zaidi berkata, siasatan mendapati pergaduhan itu berlaku pada 1 Disember lalu yang mana empat lelaki menghalang laluan keluar masuk kilang dengan menggunakan sebuah kereta Perodua Bezza bertujuan hendak menemui dengan pengusaha kilang berkenaan yang dikatakan gagal menjelaskan gaji sebanyak RM10,000 kepada salah seorang lelaki terbabit.

“Rakan kepada pengusaha kilang berkenaan kemudian mengarahkan kumpulan lelaki terbabit mengalihkan kenderaan itu tetapi tidak diendakan lalu bertindak membaling alat pemadam api ke arah kereta hingga menyebabkan cermin penumpang kereta itu pecah.

“Kumpulan lelaki itu kemudian bertindak balas dengan menyerang, menumbuk dan memukul pengusaha kilang dan rakannya termasuk menggunakan rantai besi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jelasnya lagi, salah seorang lelaki juga mengambil sebilah parang dan cuba menyerang pengusaha kilang dan rakannya namun diredakan oleh ketua kumpulan lelaki berkenaan.

“Akibat kejadian itu, pengusaha kilang cedera ringan di telinga kiri dan sakit-sakit di bahagian badan manakala rakannya luka di belakang kepala dan menerima lima jahitan di Pusat Kesihatan Manggatal.

“Pada 4 Disember lalu, ketua kumpulan lelaki berusia 47 dan seorang pekerjanya berusia 53 tahun ditahan dan rantai besi yang digunakan ketika kejadian dan kereta Perodua Bezza dirampas untuk siasatan lanjut.

“Polis juga sedang mengesan dua lagi lelaki yang terbabit dalam kes ini dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat atau mengenali mereka melalui video yang tular itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Vermal AL Subramaniam di talian 010-2314432.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cerera dengan senjata bahaya,” katanya.

Semalam, satu klip video kejadian pergaduhan dua kumpulan lelaki menggunakan rantai besi dan parang tular di media sosial.

Rakaman video berdurasi satu minit 30 saat itu memaparkan seorang lelaki menghayunkan rantai besi ke arah seorang lagi lelaki dan mengenai bahagian kepala dan berdarah.

Lalu lelaki itu menuju ke keretanya dan mengeluarkan parang sebelum ditenangkan oleh lelaki lain yang turut berada di lokasi berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|