USIA ziarah pewakaf tapak tanah PLD USIA-Albukhary

USIA ziarah pewakaf tapak tanah PLD USIA-Albukhary

Kota Marudu: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Pusat menziarahi kediaman Ali Akbar Olong, pewakaf tapak tanah Pusat Latihan Dakwah (PLD) USIA-Albukhary Kota Marudu di Kampung Marasinsim, di sini, semalam.

Ziarah berkenaan bagi menyampaikan bantuan dan melihat keadaan rumah Ali Akbar yang rosak teruk akibat dilanda ribut dalam kejadian pada 24 November lalu.

Keadaan sebahagian rumah kediaman Ali Akbar yang rosak dipukul ribut.

Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad, mengetuai program ziarah itu yang turut disertai beberapa ahli jawatankuasa USIA Bahagian Kota Marudu.

Sempena kunjungan itu, USIA menyerahkan sedikit sumbangan wang tunai kepada Ali Akbar bagi meringankan beban keluarganya.

Ali Akbar adalah pewakaf tanah bagi tapak PLD USIA-AlBukhary.

Sapawi berkata pahala mewakafkan tanah untuk pembinaan institusi agama amat besar ganjarannya dan ia mengalir bagaikan sungai tanpa henti.

“Kita rasa bersyukur kerana tanah yang diwakafkan oleh beliau membantu meringankan beban USIA mendapatkan tanah untuk membina PLD ini.

“Kami berdoa agar amal jariah yang beliau (Ali Akbar) telah sumbangkan diberikan ganjaran bak sungai yang mengalir selama pusat latihan itu dimanfaatkan oleh masyarakat setempat,” katanya.

Mengenai bencana ribut yang melanda, Sapawi berharap keluarga berkenaan tabah menghadapinya.

“Ribut ini ujian daripada Allah Ta`ala, kita sebagai hamba perlu bersabar menempuhi ujian dan pasti ada hikmah di sebalik ujian tersebut,” katanya.

Ketika dalam perjalanan balik, rombongan USIA sempat singgah di PLD dan melihat keadaan pagar yang turut rosak akibat dilanda ribut berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|