STAR sah keluar PN – Jeffrey

STAR sah keluar PN – Jeffrey

Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sah keluar daripada Perikatan Nasional (PN) setelah hampir tiga tahun bersama gabungan itu sejak 2020.

Perkara itu disahkan Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan ketika ditanya kedudukan STAR dalam PN selepas parti itu menyatakan sokongan terhadap pembentukan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata, pengumuman rasmi berkaitan perkara itu akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

“Ya, tunggu sajalah pengumuman. Sebab kalau kau pergi sini, saya pergi sana, bererti kita tidak sehaluan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Institut Pertanian Sabah (IPS), Timbang Menggaris ke-50 dan Pusat Latihan Vokasional Pertanian (AVTC) Lahad Datu kali ke-37 dan ke-38 tahun, di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pelantikan Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri mengalu-alukan kerjasama kedua-dua pihak.

“Dengan adanya Menteri baharu dan mungkin juga dasar-dasar baharu serta penekanan kepada pengeluaran makanan dan sekuriti makanan, sudah tentunya kita di Sabah akan selaraskan juga fokus kita kepada polisi di peringkat Pusat,” katanya.

Sebelum ini, Jeffrey menyatakan keterbukaannya untuk menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara.

Jelasnya, beliau percaya ia adalah jalan penyelesaian yang terbaik bagi memastikan negara terus bergerak ke hadapan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|