Maritim Malaysia Tawau rampas syabu RM1.76 juta

Maritim Malaysia Tawau rampas syabu RM1.76 juta

Tawau: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau berjaya menggagalkan sindiket pengedaran dadah selepas merampas lebih 32 kilogram dadah jenis syabu dalam operasi di perairan Inderasabah, di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dadah berkenaan berjaya dikesan semasa rondaan Ops Sejahtera.

Lokasi rondaan yang akhirnya berjaya mengesan syabu berkenaan.

Katanya, semua dadah berkenaan ditemui di dalam sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan bergerak dalam keadaan bergelap.

“Semasa pasukan operasi cuba menghampirinya, bot berkenaan bertindak memecut laju cuba melarikan diri menuju ke arah muara Sungai Inderasabah.

“Semasa mengejar bot berkenaan, seorang suspek dilihat bertindak membuang sesuatu bungkusan yang tidak dapat dipastikan berikutan keadaan gelap dan jarak penglihatan terhad,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, suspek kemudiannya berjaya memecut laju ke arah kawasan paya bakau sebelum meloloskan diri dari ditahan.

“Pencarian di lokasi mendapati, bungkusan yang dibuang adalah sebuah beg dalam keadaan terapung.

“Pemeriksaan selanjutnya mendapati beg berkenaan berisi 32 peket bungkusan dengan label teh cina ‘Guan Ying Wang’ yang mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Keseluruhan dadah berkenaan dianggarkan seberat satu kilogram setiap satu paket dengan jumlah keseluruhan lebih 32 kilogram,”
Katanya.

Shahrizan berkata, semua dadah berkenaan seterusnya dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Zon Maritim Tawau untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih kurang RM1.76 juta.

“Sindiket pengedaran dadah ini dipercayai cuba menyeludup ke negara jiran dan merupakan rampasan dadah berprofil tinggi terbesar di Zon Maritim Tawau,” katanya.

Sehubungan itu, Shahrizan berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).

Katanya, orang ramai juga diminta membantu dengan menyalurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|