KPDNHEP Sandakan lancar inisiatif pastikan minyak masak sampai kepada pengguna

KPDNHEP Sandakan lancar inisiatif pastikan minyak masak sampai kepada pengguna

Sandakan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mewujudkan program khas bagi memastikan bekalan minyak masak pek satu kilogram sampai ke tangan pengguna.

Ketua Pegawai KPDNHEP Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, ia adalah menerusi program Prihatin Keluarga Sandakan yang dimulakan sejak tiga bulan lalu.

Azdy memeriksa bekalan minyak masak dalam paket di sebuah kedai runcit di Sandakan.

Katanya, menerusi program berkenaan, pihaknya meminta supaya pemborong minyak masak bersubsidi menghantar permohonan bagi mendapatkan bekalan menggunakan emel.

Katanya, pihaknya kemudiannya akan memberikan kelulusan mengikut keperluan selain meminta pemborong menghantar terus minyak masak berkenaan ke kedai runcit yang sudah dikenal pasti.

“Dalam masa sama, saya dan pegawai juga akan mengiringi dan turut serta dalam proses penghantaran berkenaan.

“Kami akan turun bersama pegawai untuk melihat dan memantau sendiri, bukan di sini saja malah semua kawasan Sapi Nangoh, Telupid dan Kinabatangan,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menjalankan Program Prihatin Keluarga Sandakan, di sini, hari ini.

Azdy berkata, program berkenaan sememangnya memberikan impak yang positif kerana apabila pemantauan dilakukan, pihaknya dapat memastikan semua bekalan minyak masak sampai kepada pengguna.

Katanya, insiatif mewujudkan program berkenaan adalh bagi memastikan golongan sasar mendapat bekalan minyak bersubsidi berkenaan.

“Semua penghantaran ini dilakukan seminggu sekali, oleh itu kita berharap isu sukar mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi ini dapat diatasi,”katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|