Jaga hubungan baik GRS-BN, elak sengketa menjelang PRU-15

Jaga hubungan baik GRS-BN, elak sengketa menjelang PRU-15

Tawau: Pergolakan yang berlaku di antara UMNO Barisan Nasional (BN) dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) di peringkat negeri tidak menjejaskan hubungan baik kedua-dua parti itu di peringkat bahagian.

Ketua Bahagian UMNO Kalabakan, Andi Muhammad Suryady Bandy, berkata apa yang penting ialah menjaga keharmonian dan saling menghormati sebagai rakan dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Andi menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta Program Pemerkasaan Bomba Komuniti.

“Kita ini berada dalam satu bumbung dan kerajaan yang sama jadi tidak eloklah kita saling mempersalahkan ataupun melemahkan rakan-rakan.

“Jadi kita harapkan PBS jangn membuat sesuatu yang boleh merenggangkan atau merosakkan hubungan terutamanya rakan komponen dalam kerjaan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Pemerkasaan Bomba Komuniti di Dewan Serbaguna OT Jantan, Kampung Tanjung Batu Darat, di sini, semalam.

Ketegangan di antara kedua parti itu timbul selepas Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mendakwa terdapat komponen BN yang menggunakan khidmat pendatang asing tanpa izin (PATI) pada kongres parti itu baru-baru ini.

Andi Muhammad Suryadi berkata hubungan dan kerjasama yang baik dalam GRS dan BN perlu dijaga untuk menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam mencapai kemenangan untuk membentuk kerajaan sekali lagi.

“Perlunya ada satu kerjasama yang menyeluruh dan satu usaha sama yang baik dalam kita menuju PRU-15 ini kerana sekiranya kita berpecah dan tidak sehaluan yang menyebabkan berlakunya pergolakan dalam kerajaan GRS ini akan menyebabkan kekalahan dan tidak mendatangkan kebaikan,” katanya.

Pada 2 Julai lalu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi amaran kepada Maximus agar tidak bermain api dengan UMNO dan BN.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|