SK Kirokot terima pengiktirafan kerajaan negeri

SK Kirokot terima pengiktirafan kerajaan negeri

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri mengiktiraf pencapaian Sekolah Kebangsaan (SK) Kirokot, Ranau yang membanggakan Sabah selepas memenangi pelbagai pingat emas dalam pertandingan inovasi antarabangsa pada tahun lalu.

Sekolah berkenaan juga menjadi sekolah pertama dari kawasan luar bandar menerima anugerah kebangsaan Teaching Professionalism Creative and Innovative Group Carnival (KIKPK) mengalahkan sekolah dan institusi pendidikan terkemuka di seluruh negara.

Hajiji menyerahkan sumbangan kerajaan negeri kepada SK Kirokot, Ranau sambil disaksikan Areha Heavena Azri (tiga kanan) and Jetty Lorrend (kiri).

Berikutan kejayaan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan RM10,000 untuk dana inovasi sekolah itu dalam satu majlis ringkas di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

“Tahniah kepada guru-guru dan murid. Pencapaian seumpama ini bukan sesuatu yang mudah bagi sekolah luar bandar yang berdepan banyak cabaran termasuk perhubungan.

“Ini membuktikan bahawa dengan kerja keras dan dedikasi, tiada yang mustahil. Saya bangga kepada guru dan murid SK Kirokot,” katanya.

Hajiji berharap sekolah berkenaan akan terus membawa kebanggaan kepada Sabah dan menjadi contoh kepada sekolah lain di negeri ini.

Dua murid Tahun Enam sekolah berkenaan, Areha Heavenea Azri dan Jetty Lorrend memenangi pingat emas dalam World Youth Invention and Innovation Award (Indonesia); Organisation for Creativity, Innovation and Invention Promotion (Nigeria) dan Virtual Innovation Competition UiTM Kelantan International yang fiadakan secara maya tahun lalu.

Inovasi yang membawa kemenangan kepada mereka dinamakan Face Mask 2.0, yang mana dibuat menggunakan bahan-bahan daripada botol plastik.

Murid terbabit turut memenangi The Sirim Special Award.

Guri SK Kirokot, Hallsen Justin, Indro Ebin dan Juhidin Jukilin pula memenangi KIKPK menerusi interaktif inovatif dalam permainan matematik secara dalam talian.

Perjumpaan bersama Hajiji di Menara Kinabalu hari ini diketuai oleh Guru Besar SK Kirokot, Jeffrey Siga.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|