Kota Kinabalu: Enam rumah atas air di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, di sini, musnah sepenuhnya selepas terbakar, malam tadi.
Manakala dalam kejadian jam 11 malam itu, dua lagi rumah dilaporkan hanya terbakar kira-kira 50 peratus selepas tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal api kebakaran.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.06 malam.
Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota bersama jentera serta dibantu 15 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Operasi pemadaman awal dijalankan oleh PBS Pulau Gaya menggunakan satu aliran hos sumber air dari kapal pembekal air.
“Operasi kemudiannya disambung pasukan bomba sebelum api berjaya dikawal pada jam 12 tengah malam,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, anggaran keseluruhan kebakaran membabitkan keluasan 50 meter persegi namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Katanya, pasukan operasi terus melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.40 tengah malam.
-Deasoka