Kota Kinabalu: Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, beliau teringin memiliki tongkat sakti yang boleh menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.
Perkara itu dinyatakan Pairin dalam maklumbalasnya terhadap kenyataan veteran politik DAP, Lim Kit Siang mengenai isu PATI di Sabah baru-baru ini yang seolah-olah meletakkan penyelesaian isu berkenaan di tangannya.
“Saya mendapati Lim Kit Siang mempunyai dendam terhadap saya seolah-olah saya memiliki tongkat sakti di tangan dan dengan itu saya menjadi satu-satunya yang dapat menyelesaikan masalah berkaitan kehadiran PATI di Sabah dan Malaysia.
“Saya memang teringin untuk memiliki tongkat sakti itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini berkaitan pembabitannya dalam usaha menangani isu PATI di Sabah sejak menjadi Ketua Menteri dari 1985 hingga 1994 dan ketika menjadi pengerusi jawatankuasa teknikal berkaitan isu PATI pada 2015.
Kit Siang dalam kenyataannya, baru-baru ini meminta Pairin menjelaskan apa yang telah dilakukannya dalam empat tahun dari 2014 sehingga 2018 sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu PATI di Sabah.
Sementara itu, Pairin yang juga pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, dalam laporannya, kenyataan media dan ucapannya sebelum ini, beliau sentiasa menekankan mengenai kejujuran penguatkuasaan undang-undang, khususnya imigresen.
“Kita perlu sentiasa berpandukan prinsip bahawa pencegahan lebih baik daripada mengubati. Soalannya ialah adakah kita ambil peduli? Sudahkah kita benar-benar melakukannya?
“Kepada Lim Kit Siang, adakah Pakatan Harapan (PH) di bawah Tun Dr Mahathir sebelum ini ambil peduli?,” soalnya merujuk ketika era pentadbiran PH di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri dari 2018 hingga awal 2020.
Pairin menyalahkan Dr Mahathir sebagai individu yang suka mengacau air yang tenang, termasuk dalam soal pelantikan Ketua Menteri Sabah yang dibuat secara penggiliran selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri daripada PBS sejak 1994.
“Perlembagaan kita sangat jelas mengenai bagaimana sebuah kerajaan dibentuk dan dipilih oleh rakyat. Ketua parti yang mendapat majoriti pada pilihan raya layak mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah.
“Namun, Tun Dr Mahathir tidak memedulikan peruntukan Perlembagaan Negeri dan secara unilateral serta diktator memperkenalkan penggiliran jawatan Ketua Menteri hanya untuk mengelirukan rakyat Sabah dan Malaysia serta dunia demokrasi keseluruhannya.
“Ini betul-betul merosakkan ekonomi Sabah, sistem demokrasinya dan memecah belah perpaduan dalam kalangan warga negara yang kita cuba untuk capai dalam kalangan rakyat Malaysia selama ini,” katanya.
Mengenai isu PATI, Pairin berkata pendengaran RCI mengenai masalah itu yang dilaksanakan pada 2013 mengesahkan masalah besar kehadiran PATI dan mendedahkan wujud agenda politik melalui apa yang dikenali sebagai Projek IC di bawah Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum ini.
“Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum sekali lagi dilantik sebagai Perdana Menteri dengan sokongan parti politik dikenali sebagai DAP pada 2018.
“DAP dan Lim Kit Siang tidak boleh menafikan peranan yang dimainkan Tun Dr Mahathir dalam peningkatan PATI di negara ini, khususnya di Sabah yang mana mereka mempunyai agenda yang jelas untuk menjatuhkan kerajaan PBS.
“Ini kerana PBS dianggap sebuah parti Kristian, walaupun ia sentiasa menjadi parti politik pelbagai kaum sehinggalah ke hari ini,” katanya.
Pairin berkata, beliau merasa tersanjung apabila disebut Kit Siang baru-baru ini dan diminta menerangkan apa yang dilakukannya melalui jawatankuasa PTI dipengerusikannya yang diwujudkan kerajaan BN ketika itu.
Beliau menjelaskan jawatankuasa itu hanya sebuah jawatankuasa teknikal, manakala jawatankuasa utama dan jawatankuasa membuat keputusan dipengerusikan Perdana Menteri dengan Ketua Menteri Sabah selalu Timbalan Pengerusi.
“Saya mengadakan beberapa mesyuarat ketika menerima banyak cadangan melalui memorandum yang dihantar parti politik dan individu.
“Semua cadangan itu saya anggap mempunyai merit dan berbaloi untuk diambil kira oleh kerajaan melalui Jawatankuasa Utama. Jadi saya memberikan pandangan kepada Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Utama untuk dipertimbangkan dan membuat keputusan akhir,” katanya.
Dalam kenyataannya, Pairin turut mengimbau apa yang dilakukannya sejurus menjadi Ketua Menteri pada 1985.
“Saya gembira mengimbau ketika dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah pada 1985, saya mempunyai keistimewaan untuk melaksanakan amalan demokratik pertama saya iaitu membatalkan perintah larangan imigresen terhadap Lim Kit Siang yang dikenakan kerajaan terdahulu di bawah Ketua Menteri, Tan Sri Harris Salleh.
“Lim Kit Siang akhirnya dibenarkan bergerak bebas di bawah undang-undang Sabah,” katanya.
-Deasoka