Mangsa terakhir bot karam ditemui

Mangsa terakhir bot karam ditemui

Tawau: Mangsa terakhir bot karam dalam kejadian Sabtu lalu, di sini, ditemui dalam keadaan terapung di perairan Sungai Membalua, di sini, awal pagi hari ini.

Mangsa, Rahena Muhaimin, 20, ditemui pada jam 8.34 pagi kira-kira 2.2 batu nautika dari lokasi dua mayat adiknya, Saiful, 15, dan Jaidi, 5, ditemui.

Mayat mangsa dibawa ke darat sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Julius John Stephen berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga berjaya menemui mangsa terakhir tragedi bot karam terbabit.

“Mangsa ketiga perempuan, iaitu kakak kepada dua mangsa yang ditemui meninggal dunia semalam akhirnya ditemui hari ini.

Mangsa terakhir bot karam ditemui terapung diperairan Sungai Membalua, Tawau.

“Mangsa ditemui oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan seterusnya pasukan bomba bersama agensi penyelamat lain membawa mangsa ketiga sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya lagi, operasi kemudian ditamatkan pada jam 9.20 pagi selepas ketiga-tiga mangsa ditemui sepenuhnya.

Sebelum itu, operasi membabitkan seramai empat anggota bomba bersama 25 bot termasuk dari agensi penyelamat dan penduduk kampung.

Sabtu lalu, sebuah bot yang dinaiki sembilan individu karam ketika dalam perjalanan berpatah balik dari Batu 4 Kampung Rawa-Rawa ke Kampung Batu Payung.

Enam mangsa berjaya diselamat oleh penduduk kampung manakala tiga beradik terbabit hilang akibat kejadian itu.

Semalam, dua mangsa iaitu Saiful dan Jaidi ditemui di perairan Tinagat dan pesisir pantai antara 6.30 pagi hingga 9 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|