Bantuan mangsa banjir diutamakan – Shahelmey

Bantuan mangsa banjir diutamakan – Shahelmey

Kota Marudu: Persediaan dan persiapan kelengkapan peralatan kepada mangsa-mangsa banjir di setiap Pusat Penempatan Sementara (PPS) berada pada tahap terbaik.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, setakat ini, semua 13 PPS yang dibuka di daerah Kota Marudu dihuni seramai 2,435 mangsa.

Shahelmey menanyakan khabar kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Kota Marudu.

Katanya, semua PPS mempunyai kelengkapan seperti ruang pembahagi, tilam, bantal dan tempat masak mencukupi.

“Saya berpuas hati dengan persediaan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam membantu mangsa-mangsa banjir,” katanya ketika ditemui, di pekarangan PPS Dewan Komuniti Kota Marudu, di sini, hari ini.

Shahelmy berkata, selain itu pihaknya turut merancang untuk menghantar bantuan bakul makanan kepada lima kampung yang terputus hubungan jalan darat.

Katanya, pihaknya sudah berbincang dengan pejabat Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) kawasan untuk jumlah dan kampung terlibat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda berkata, pihaknya sedang berusaha mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah banjir di daerah ini.

Katanya, antara cadangan termasuk kerja-kerja mendalamkan sungai-sungai di daerah sini yang dikenalpasti antara punca masalah banjir setiap kali hujan lebat berterusan.

“Perkara ini sedang dirancang sebagai usaha untuk mengatasi masalah banjir bagi tempoh jangka masa panjang di daerah ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|