FCI UMS, SCENIC anjur program ‘National Fintech Codeathon’ tangani isu teknologi kewangan

FCI UMS, SCENIC anjur program ‘National Fintech Codeathon’ tangani isu teknologi kewangan

Kota Kinabalu: Persatuan Mahasiswa Fakulti Komputeran dan Informatik (FCI), Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menganjurkan program ‘hackathon’ yang bakal menyaksikan golongan muda menguji kebolehan pemikiran kritis bagi mencari penyelesaian praktikal terhadap masalah berkaitan teknologi kewangan.

Program ‘National Fintech Codeathon’ yang dianjurkan dengan kerjasama Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC) itu yang bertemakan Teknologi Kewangan (Fintech) akan memfokuskan usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 8: Pertumbuhan Ekonomi dan Pekerjaan Yang Baik bagi menangani isu kewangan dunia sebenar.

Abdul Hafiz Gani

Pengarah program berkenaan, Abdul Hafiz Gani berkata, acara yang bakal berlangsung pada 19 hingga 22 Februari depan itu diharap dapat menarik seramai 75 pelajar universiti dan orang awam bagi merangsang pemikiran kreatif masing-masing.

Katanya, semua peserta juga diharap dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara dengan pelaksanaan lebih banyak teknologi dalam aktiviti kewangan selain mengalakkan orang ramai menggunakan transaksi tanpa tunai.

“Justeru itu, kemahiran yang akan mereka perolehi daripada program ini sudah pasti akan memberi manfaat kepada kerjaya masa depan.

“Ini kerana kemahiran berfikir secara kritis amat penting dalam dunia hari ini apabila wujud cabaran baharu dalam setiap ciptaan baharu.

“Di sinilah kemahiran anak muda diperlukan kerana mereka adalah penggerak sistem pada masa hadapan. Kita berharap kemahiran peserta akan meningkatkan hasil daripada program ini, kerana mereka perlu menyelesaikan masalah dunia sebenar,” katanya.

Abdul Hafiz berkata, bagi menjayakan program berkenaan, FCI UMS bekerjasama dengan SCENIC iaitu sebuah agensi kerajaan negeri di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi yang berdedikasi untuk mempromosikan keusahawanan, teknologi, inovasi dan kreativiti di Sabah.

Fazlan Thomas

Sementara itu, Pakar Program dan Pembina Komuniti SCENIC, Fazlan Thomas berkata, mereka berharap program berkaitan teknologi kewangan ini akan dapat dibangunkan bagi membantu memacu industri di Sabah.

Katanya, memandangkan kurangnya penganjuran program hackathon di negeri ini, pihaknya berharap program itu akan dijadikan acara tahunan.

“Ia bagi menarik lebih perhatian terhadap impaknya khususnya dalam memangkin dan meningkatkan kemahiran insaniah dalam kalangan peserta.

“Cabaran anak muda atau graduan dalam dunia pekerjaan adalah satu tahap yang perlu dihadapi dalam kehidupan sebenar. Walaupun ilmu yang dipelajari di institusi pengajian tinggi boleh diaplikasikan dalam kerjaya, namun sesebuah kerjaya itu tidak menjamin ilmu yang dipelajari mampu diadaptasi,”katanya.

Menurutnya, setiap pelajar perlu mencabar diri sendiri untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam mempelajari pelbagai ilmu tambahan.

Katanya, dengan adanya kemajuan teknologi kini dan akses mudah, mempelajari sesuatu yang baharu bukanlah sesuatu yang mustahil.

Fazlan berkata, program seperti ‘National Fintech Codeathon’ itu penting dalam menggalakkan peserta membangunkan dan mencari jalan penyelesaian yang belum pernah dihasilkan sebelum ini.

Katanya, sumbangan peserta tidak hanya terhenti setakat program itu kerana peranan SCENIC adalah untuk membantu membangunkan dan mempercepatkan idea teknologi kewangan selaras dengan matlamat program dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 8: Pertumbuhan Ekonomi dan Pekerjaan Yang Baik.

“Jika terdapat solusi yang terbaik yang mampu dikomersialkan dan ditambah baik dalam membantu teknologi kewangan di negeri Sabah mahupun Malaysia, SCENIC sudah pasti bertanggungjawab membimbing peserta untuk pergi lebih jauh,” katanya.

Selain SCENIC, FCI UMS turut bekerjasama dengan Persatuan Mahasiswa Sains Komputer dari universiti lain antaranya COMSSA UPM, PERTEKMA UNIMAS, dan I-TECH UUM, serta Microsoft, FinTech Associations of Malaysia, Multimedia Development Corporation, PayHalal, dan Printcious.

Pendaftaran dalam talian untuk Codeathon kali ini dibuka mulai hari ini (3 Januari) di laman https://scenic.my/nfc2022 dengan tawaran hadiah wang tunai sebanyak RM1,500 untuk tempat pertama, RM1,000 tempat kedua dan RM500 bagi tempat ketiga.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|