Peter perlu tumpu pembangunan Melalap, bukan tubuh parti baharu – PBS Melalap

Peter perlu tumpu pembangunan Melalap, bukan tubuh parti baharu – PBS Melalap

Tenom: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony perlu memberi tumpuan kepada membangunkan kawasannya dan menunaikan janji pada pilihan raya lalu.

Timbalan Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Melalap, Stanis Buandi, berkata langkah itu yang sewajarnya diambil Peter berbanding menubuhkan parti baharu selepas meninggalkan Parti Warisan (WARISAN) baru-baru ini.

Katanya, meskipun tindakan keluar daripada WARISAN dan menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disambut baik rakan sekutu gabungan berkenaan, Peter perlu ikhlas dalam perjuangannya sebagai ADUN mesra GRS.

“Beliau harus fokus membangunkan Melalap, seperti yang diharapkan oleh pengundi dan masyarakat di sini kerana ia adalah janji beliau pada pilihan raya lalu.

“Antara janji beliau pada pilihan raya lalu termasuk membina kilang tayar, jalan by-pass untuk mengelak kesesakan jalan raya ke pekan Tenom, mengiktiraf Melalap sebagai daerah penuh dan mewujudkan pekan baharu Melalap,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Stanis turut mengingatkan Peter bahawa masyarakat Melalap memilih beliau sebagai wakil rakyat mereka dan mengharapkan apabila memegang portfolio Menteri Pembangunan Infrastruktur sebelum ini, beliau menunaikan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

“Peter juga menjanjikan projek pembangunan landasan keretapi Tenom – Melalap, namun selepas 26 bulan sebagai menteri, ia kekal hanya sebagai janji manis. Malahan, banyak kemudahan awam dan infrastruktur terbiar dan tidak diselenggarakan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun gagal menepati janji pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, rakyat Melalap masih menyimpan kepercayaan terhadap Peter dan sekali lagi beliau menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

Tegasnya, kini Peter perlu menumpukan perhatian terhadap melangsaikan ‘hutang-hutang’ beliau kepada pengundi beliau di kawasan Melalap.

“Saya merasakan beliau perlu terlebih dahulu memberi tumpuan terhadap kemajuan dan pembangunan di Melalap, dan bukannya sibuk menubuhkan parti baharu demi kelangsungan politik beliau,” katanya.

Stanis menambah alasan Peter meninggalkan WARISAN kononnya parti itu tersasar jauh daripada perjuangannya dengan melebarkan sayap ke Semenanjung adalah tidak konsisten dengan pendirian beliau sebelum ini.

Jelasnya, sebagai Naib Presiden WARISAN ketika itu, beliau menyokong penuh keputusan berkenaan seperti yang dinyatakan melalui Facebook beliau ketika kongress parti berkenaan baru-baru ini.

“Alasan Peter keluar parti kerana tidak bersetuju dengan WARISAN melebarkan sayap ke Semenanjung adalah tidak bernas seperti yang dikatakan oleh Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam kenyataan akhbar beliau baru-baru ini,” katanya.

Stanis yang juga Ahli Majlis Tertinggi PBS, berkata Mohd Shafie juga membuka pekung di dada apabila menyatakan Peter meninggalkan parti kerana bimbang terhadap kes mahkamah yang mengarahkan beliau membela diri pada hari ini setelah pihak pendakwa membuktikan kes prima facie terhadapnya.

“Jika Peter ikhlas sebagai wakil rakyat, beliau perlu memperjuangkan kemajuan Melalap dan menumpukan perhatian kepada tugasan beliau sebagai ADUN, bukannya sibuk bermain politik dengan menubuhkan parti baharu berasaskan Kadazandusun Murut (KDM).

“Biarlah parti yang telah lama bertapak di Sabah seperti PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) meneruskan perjuangan itu kerana kita khuatir ia akan menambah perpecahan dalam kalangan pelbagai kaum dan l memburukkan lagi situasi politik di negara ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|