2,435 mangsa banjir dipindahkan di enam daerah di Sabah

2,435 mangsa banjir dipindahkan di enam daerah di Sabah

Kota Kinabalu: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah terus meningkat kepada seramai 2,435 orang pagi ini berbanding 1,826 orang malam tadi.

Jumlah itu merangkumi semua mangsa yang dipindahkan di 23 PPS yang dibuka di enam daerah setakat ini iaitu di Kota Marudu, Pitas, Beluran, Telupid, Sandakan dan daerah kecil Paitan.

Keadaan banjir di beberapa daerah di Sabah ketika ini.

Berdasarkan kemas kini laporan dikeluarkan Angkatan Pertahanan Awam (APM) setakat jam 9 pagi ini, jumlah keseluruhan mangsa itu membabitkan 874 ketua isi rumah (KIR) atau keluarga.

Kota Marudu kekal mencatat mangsa tertinggi yang dipindahkan ke PPS iaitu seramai 1,973 membabitkan 520 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS termasuk sebuah PPS yang baharu dibuka.

“PPS Dewan PPR Korongkom adalah yang terbaharu dibuka yang mana seramai 180 mangsa banjir ditempatkan manakala PPS Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan dan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek masing-masing kekal dengan jumlah seramai 251 dan 253 mangsa.

“Bagaimanapun di Dewan St Theresa mencatat peningkatan dengan seramai 142 mangsa ditempatkan di PPS itu setakat ini.

“PPS di bangunan Rukun Tetangga Salimandut kekal mencatat seramai 40 mangsa, Dewan Sekolah Menengah (SM) Advent Gohsen (189), Sekolah Rendah Agama (SRA) Damai (14), Dewan Longob (300), SK Ranau (182), Dewan Asin-Asin (72), Dewan Komuniti (167) dan Dewan Mosolog (162),” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Sandakan mencatat jumlah mangsa kedua tertinggi dengan seramai 197 mangsa membabitkan 42 keluarga dipindahkan ke PPS setakat ini.

“PPS Masjid Nur Iman Sungai Memanjang kekal dengan 151 mangsa manakala sebuah PPS baru dibuka iaitu SMK Segaliud yang menempatkan seramai 46 mangsa banjir.

“Sementara itu, tiga PPS di Paitan menempatkan seramai 97 mangsa, dua PPS di Pitas (79), tiga PPS di Telupid (51) dan satu PPS di Beluran (38),” katanya.

Sementara itu, situasi banjir di daerah yang terjejas setakat ini dilaporkan masih menunjukkan peningkatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|