Lelaki maut dipukul pencuri kabel elektrik

Lelaki maut dipukul pencuri kabel elektrik

Kota Kinabalu: Seorang lelaki ditemui maut dipercayai dipukul menggunakan objek keras oleh lelaki yang disyaki sedang mencuri kabel elektrik di kawasan lapang berhadapan sebuah pejabat terbiar di Kingfisher, di sini, tengah malam semalam.

Mangsa berusia 50 tahun ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah oleh rakannya kira-kira jam 12 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa dikatakan keluar rumah pada 10.30 malam untuk memeriksa fius elektrik yang ada di lokasi kejadian selepas bekalan elektrik di rumah kongsi mangsa terputus.

Katanya, sejam selepas itu, rakan mangsa bersama anaknya turut ke lokasi kejadian berikutan masalah bekalan elektrik yang terputus.

“Ketika sedang membuat pemeriksaan, rakan mangsa terdengar bunyi salakkan anjing lalu memeriksa keadaan disekeliling sebelum menemui kelibat orang dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri dengan kesan tompokan darah.

“Lalu lelaki terbabit terus menghubungi rakannya (si mati) yang bekerja di lokasi berkenaan dan terkejut apabila bunyi deringan telefon bimbit itu bersebelahan dengan kelibat lelaki yang tertiarap.

“Menyedari itu rakannya, lalu lelaki terbabit bertindak menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, siasatan lanjut di lokasi dengan bantuan pasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah mendapati mangsa mengalami cedera kesan bengkak di mata dan kesan remuk pada dahi disyaki dipukul menggunakan objek keras.

“Polis turut menemui sebatang kayu beruti disyaki digunakan suspek untuk menyerang mangsa.

“Siasatan lanjut di dalam bilik fius tidak jauh dari mayat lokasi ditemui mendapati terdapat kabel elektrik dipotong disyaki dicuri suspek yang tidak dikenali,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek yang sedang mencuri kabel di bilik fius kemudian menyerang mangsa menggunakan kayu beruti selepas menyedari kehadiran mangsa di bilik berkenaan sebelum melarikan diri.

“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan dan usaha mengenalpasti suspek sedang giat dijalankan. Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tujuan bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini diminta supaya menghubungi polis untuk membantu siasatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|