Ranau: Usaha berterusan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya membekalkan makanan kepada mangsa terperangkap dalam kejadian banjir di Kampung Perancangan, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, seorang lelaki dilaporkan terperangkap akibat limpahan air deras dan hujan berterusan.
Bagaimanapun, kesukaran membawa mangsa keluar membuatkan pasukan operasi mengambil pendekatan menghantar makanan kepada mangsa.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.55 tengah hari.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan tiga anggota dan pegawai bersama kenderaan pacuan empat roda dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi cuba mengeluarkan mangsa dengan menyeberangi sungai namun berdepan kesukaran disebabkan keadaan air sungai deras dan hujan lebat.
“Pasukan Bomba kemudiannya berjaya menghantar bantuan makanan kepada mangsa menggunakan sistem tali ‘highline’,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, operasi penyelamatan kemudiannya ditangguhkan pada jam 11 malam tadi dan akan disambung hari ini.
Katanya, maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
-Deasoka