Warga emas maut akibat banjir di Telupid

Warga emas maut akibat banjir di Telupid

Beluran: Satu lagi kes kematian akibat banjir direkodkan di Sabah membabitkan seorang warga emas yang menjadi korban terbaharu dalam satu kejadian di Sungai Lininkung, Telupid.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam, mangsa yang bekerja sebagai petani dilaporkan cuba menyeberangi sungai.

Keadaan banjir di Beluran. Pix ihsan PDRM

Katanya, mangsa cuba menuju ke rumahnya yang hampir ditenggelami air sebelum dihanyutkan arus deras.

“Penduduk kampung kemudiannya menemui lelaki terbabit tidak jauh dari lokasi mangsa hanyut dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Telupid sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.

Sehubungan itu, Kasim menasihatkan masyarakat agar sentiasa peka dengan keadaan semasa dan mengelakkan diri daripada melalui kawasan banjir.

Kes berkenaan menjadikan kes kematian akibat banjir di Sabah meningkat kepada tiga orang setakat ini.

Terdahulu, dua kematian direkodkan di daerah kecil Paitan dalam dua kejadian berasingan pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian pertama, seorang lelaki berumur 28 tahun yang sedang memasang pukat ketika banjir dan hujan lebat dilaporkan hilang di Kuala Penubukan.

Mayat mangsa kemudiannya ditemui pada Sabtu.

Mangsa kedua pula membabitkan lelaki berumur 26 tahun, iaitu seorang pekerja ladang yang dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi jalan di Kampung Kinadaan.

Mangsa bagaimanapun belum ditemui sehingga kini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|