1,826 mangsa banjir dipindah setakat malam ini

1,826 mangsa banjir dipindah setakat malam ini

Kota Kinabalu: Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah terus meningkat dengan seramai 1,826 orang dipindahkan di 20 PPS setakat jam 9 malam ini, berbanding 1,249 mangsa petang tadi.

Berdasarkan laporan terkini Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) setakat jam 9 malam ini, jumlah itu membabitkan 599 keluarga di enam daerah yang terjejas teruk akibat banjir.

Usaha memindahkan mangsa banjir oleh pasukan penyelamat di sekitar Kota Marudu.

Laporan agensi itu menyatakan Kota Marudu kekal sebagai daerah paling terjejas akibat banjir dengan seramai 1,474 mangsa terdiri daripada 520 keluarga dipindahkan ke 11 PPS yang dibuka sejak semalam.

“Penduduk yang dipindahkan di PPS Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan, Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek dan Dewan St Theresa masing-masing kekal dengan jumlah mangsa seramai 251, 253 dan 39 orang.

“Bagaimanapun, PPS di bangunan Rukun Tetangga Salimandut terdapat sedikit peningkatan iaitu mencatat seramai 40 mangsa manakala di Dewan Sekolah Menengah (SM) Advent Gohsen mencatat 189 mangsa, Sekolah Rendah Agama (SRA) Damai (14), Dewan Longob (143), SK Ranau (182), Dewan Asin-Asin (72), Dewan Komuniti (36) dan Dewan Mosolog (152),” kata kenyataan itu.

Anggota APM menyelamatkan mangsa banjir untuk dipindahkan ke PPS.

Katanya, Sandakan menjadi daerah kedua mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 151 mangsa membabitkan 35 keluarga yang dipindahkan ke PPS Masjid Nur Iman Sungai Memanjang.

“Paitan pula mencatat seramai 81 mangsa membabitkan 18 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS iaitu Dewan SMK Pamol (15), Dewan Kampung Binsulung (37) dan Dewan Kampung Sungai-Sungai (29).

“Sementara itu, di Telupid membabitkan seramai 43 mangsa banjir yang ditempatkan di tiga PPS iaitu di Dewan Kampung Bakong-Bakong (lima), Dewan Kampung Rancangan Nangoh (22) dan Dewan Kampung Bauto (16).

“Selain itu, di Pitas seramai 39 mangsa membabitkan 10 keluarga dipindahkan di PPS Dewan SK Salimpodon, manakala Beluran mencatat seramai 38 mangsa daripada lapan keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Kampung Balaban Jaya,” katanya.

Laporan APM setakat jam 9 malam ini menyatakan situasi semasa banjir di negeri ini menunjukkan semakin meningkat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|