Bantuan untuk mangsa banjir di Sabah disegerakan – PM

Bantuan untuk mangsa banjir di Sabah disegerakan – PM

Kota Kinabalu: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bantuan kewangan untuk mangsa banjir di Sabah akan disalurkan dengan segera.

Katanya, bantuan itu akan disalurkan dalam beberapa hari lagi bagi membantu penduduk terjejas banjir di negeri ini.

“Kita akan hantar bantuan itu dalam beberapa hari lagi. Apa yang penting keadaan di sana terkawal,” katanya.

Ismail Sabri memberi jaminan itu ketika menjawab permintaan negeri yang dikemukakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada mesyuarat khas Pasukan Petugas Pengurusan Bencana Banjir Monsun Timur Laut yang diadakan secara maya pagi ini.

Hajiji sebelum itu memberi taklimat kepada Perdana Menteri yang mempengerusikan mesyuarat khas berkenaan mengenai situasi banjir di Sabah ketika ini.

Setakat pagi ini, katanya enam daerah iaitu Kota Marudu, Pitas, Paitan, Ranau, Sandakan dan Telupid terjejas akibat banjir.

“Kita telah membuka 23 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah terjejas bagi menampung 874 keluarga yang membabitkan 2,435 orang mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata, semua agensi berkaitan yang diarahkan untuk membantu mangsa banjir menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

Setakat ini, katanya Sabah menerima sebanyak RM200,000 dan RM674,000 lagi diperlukan untukbantuan kewangan kepada setiap keluarga yang terjejas.

Kerajaan persekutuan sebelum ini mengumumkan setiap keluarga yang terjejas banjir akan diberi Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000.

Pada masa sama, Hajiji berkata kerajaan negeri turut mengagihkan bakul makanan kepada mangsa.

“Jadi, adalah baik kerajaan persekutuan mempercepatkan penyaluran bantuan kewangan kepada Sabah,” katanya.

Hajiji juga memberitahu Perdana Menteri bahawa kerajaan negeri sedang menunggu laporan kerosakan infrastruktur akibat banjir di semua daerah yang terjejas.

Katanya, beliau akan melawat ke daerah Kota Marudu, Pitas dan Paitan untuk meninjau keadaan banjir dan berjumpa dengan mangsa banjir pada Rabu ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Rosmadi Sulai dan Pengarah Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri, Datuk Ag Shahminan Ag Sahari.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|