Bung Moktar arah JKR pantau infrastruktur terjejas banjir

Bung Moktar arah JKR pantau infrastruktur terjejas banjir

Kota Kinabalu: Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sudah diarah untuk meningkatkan pemantauan terhadap keadaan infrastruktur terutama jalan raya yang terjejas akibat banjir dan hujan berterusan di pantai timur dan utara negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata beliau sudah mengarahkan jurutera JKR di setiap daerah untuk mengambil tindakan berkenaan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Saya sudah mengarahkan semua jurutera JKR di daerah masing-masing supaya memantau infrastruktur terutama jalan raya di bawah seliaan mereka berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

“Jalan raya yang berisiko termasuk bahagian cerun perlu dipantau bagi memastikan ia selamat digunakan dan sekiranya ada tanda-tanda yang menunjukkan bahaya, jurutera perlu memaklumkan kepada Kementerian Kerja Raya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata mana-mana kawasan berisiko perlu diletakkan papan tanda amaran bagi memastikan pengguna jalan raya peka dan lebih berhati-hati apabila mendekati atau melalui kawasan terbabit.

Beliau turut menasihati pengguna supaya tidak mengambil sebarang risiko terutama bagi kenderaan kecil untuk meredah laluan terjejas akibat banjir walaupun kelihatan ‘selamat’ kerana mungkin ada bahaya tersembunyi.

“Pihak JKR akan sentiasa mengemaskini keadaan jalan raya, cerun dan jambatan yang terjejas disebabkan banjir yang berlaku sekarang demi kepentingan pengguna,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut mengarahkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di seluruh negeri terutama di Kinabatangan supaya diaktifkan 24 jam berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Beliau berkata, pemantauan berterusan penting bagi memastikan segala persiapan dapat dirangka lebih awal sek supaya operasi membantu dan menyelamat bersama agensi serta jabatan berkaitan berjalan dengan lancar.

Jelasnya, ia juga bagi mengelak daripada timbul sebarang isu kelewatan gerakan operasi yang akhirnya memberi kesan terhadap usaha menyelamat penduduk di kawasan yang berisiko tinggi.

“Saya minta seluruh PKOB di negeri ini terutama di kawasan Kinabatangan supaya melaksanakan persiapan awal dan rapi bagi memastikan perjalanan operasi berjalan dengan lancar.

“Perancangan yang rapi dan teratur dapat memastikan semua petugas serta aset berkaitan digerakkan bersama tanpa sebarang masalah atau kejadian buruk dan tidak diingini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|