Kunak: Satu lagi mangsa bot karam ditemui dalam keadaan terapung di perairan Pulau Tagabua, di sini, pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Saujal Mangguna, 31, ditemui pada jam 10.40 pagi oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR), nelayan dan ahli keluarga ketika operasi dilakukan.
Dua lagi yang ditemui lemas semalam iaitu anak mangsa dikenali sebagai Mohd Haizal, 5 dan adiknya, Suriani, 3 manakala ibu mereka terselamat dikenali sebagai Kalsum Alam, 35.
Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Sabarudin Rahmat berkata, jumlah keseluruhan mangsa yang maut tiga orang manakala seorang lagi terselamat dalam kejadian ini.
“Pusat kawalan tempat kejadian operasi menyelamat mangsa bot karam memaklumkan bahawa seorang lagi mangsa ditemui terapung di perairan terbabit.
“Ahli keluarga mengesahkan bahawa mayat yang terapung adalah mangsa terakhir dalam kejadian bot karam itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya lagi, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Kunak untuk tujuan proses bedah siasat.
Terdahulu, Sabarudin memaklumkan, kejadian berlaku ketika semua mangsa dalam perjalanan dari kampung mereka di Kampung Bangkuruan Lahad Datu ke Pekan Kunak.
“Mereka dipercayai keluar membeli barang keperluan harian di Pekan Kunak dan sebaik tiba di lokasi, bot yang dinaiki dipukul ombak akibat angin kencang dan menyebabkan bot mereka terbalik,” katanya.
Sabarudin turut menasihatkan orang ramai atau penduduk kampung supaya mengambil langkah keselamatan dan sentiasa berhati-hati ketika menjalankan aktiviti di laut terutama dalam keadaan cuaca ribut dan laut bergelora.
“Orang awam yang menjadikan laut sebagai laluan perhubungan dinasihatkan sentiasa memakai jaket keselamatan dan membawa
keperluan peralatan keselamatan yang lain,” katanya.
-Deasoka