Kota Belud: Seorang lelaki cedera selepas tergelincir jatuh dari bukit setinggi 10 meter dalam kejadian di Kampung Pomotodon, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa berusia 63 tahun terbabit mengalami kecederaan di kaki dan leher akibat kejadian berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima makluman daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak, pada jam 10.12 malam.
Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dan bot penyelamat dikerah bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati tergelincir di tepi bukit berhampiran rumahnya sendiri.
“Warga emas itu terjatuh ke kawasan curam sedalam 10 meter dam mengalami kecederaan di bahagian kaki dan leher,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, mangsa terus diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba dan seterusnya dibawa ke Hospital Kota Belud menggunakan EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.20 tengah malam.
-Deasoka