Tawau: Tindakan dua individu tempatan mengaut keuntungan dengan menyeludup barangan dari negara jiran tanpa sebarang permit yang sah membawa padah apabila ditahan dan pelbagai barangan dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Batu Tiga, di sini, pada awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, dua individu lelaki dan wanita masing-masing berusia 32 dan 35 tahun itu ditahan untuk pemeriksaan bot yang didapati membawa muatan pelbagai barangan disyaki diseludup dari negara jiran.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, ketika Ops Cegah Pati dilaksanakan, terdapat sebuat bot kargo dilihat dalam keadaan mencurigakan dari sempadan perairan negara menuju ke arah muara Sungai Tawau.
“Bot itu kemudian ditahan untuk pemeriksaan oleh Maritim Malaysia dan didapati bot dikendalikan oleh tekong tempatan dan terdapat seorang penumpang wanita didalamnya.
“Penggeladahan dibuat terhadap bot kargo itu menemui pelbagai barangan dipercayai diseludup dari negara jiran iaitu 1,171 helai kain batik buatan Indonesia; 500 helai kain pelikat Gajah Duduk; 1,445 helai pakaian wanita; 2,125 ketul gula merah; 2688 botol losyen badan jenama Bengkoang serta 24 tong gas gas petroleum cecair (LPG) kosong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, kesemua jenis barangan serta jenama itu dipercayai berasal dari Indonesia dan tekong juga gagal menunjukkan sebarang dokumen atau permit yang sah berkaitan muatan yang dibawa.
“Kedua-dua suspek ditahan bersama bot dan muatan seterusnya diiring ke Jeti Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.
“Kesemua barangan termasuk bot kargo,enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM141,000 dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” katanya.
-Deasoka