Empat PATI dihalau

Empat PATI dihalau

Tawau: Cubaan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) menyelinap masuk ke daerah ini gagal selepas berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.

Bot yang dikemudi seorang warga tempatan berjaya dikesan di kawasan laut Tanjung Saima, Pulau Sebatik, di sini.

Empat PATI dikesan cuba masuk ke negara ini berjaya dihalang dan diusir keluar.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, ketika ditahan, bot berkenaan dikesan membawa tiga lelaki dan seorang wanita berusia 40 hingga 50 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan, semua empat penumpang terbabit didapati bukan warga negara.

“Juragan bot dan semua penumpang kemudiannya diberikan penerangan berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Ia sepertimana ditetapkan dalam Perintah Akta Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ridzauddin berkata, bot berkenaan kemudiannya diiring keluar dari perairan negara dan diarahkan supaya tidak kembali semula ke negara ini bagi mengekang penularan wabak penyakit Covid-19.

Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, PPM akan terus komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan kawalan pergerakan di kawasan perairan negara khususnya Tawau.

Katanya, ia sebagai salah satu usaha bagi mengekang penularan wabak penyakit pandemik Covid-19.

“PPM juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara.” katanya.

Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

“Maklumat juga boleh disalurkan secara terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan kesalahan-kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|