Bantuan Awal Persekolahan RM150 diagih mulai 17 Januari

Bantuan Awal Persekolahan RM150 diagih mulai 17 Januari

Kota Kinabalu: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengagihkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi sesi persekolahan 2022/2023 berjumlah RM150 seorang bermula Isnin ini (17 Januari 2022).

Menerusi satu kenyataan media, kementerian berkenaan memaklumkan bayaran dibuat lebih awal sebelum sesi baharu persekolahan bermula bagi membolehkan ibu bapa memanfaatkan wang berkenaan untuk persiapan sekolah anak-anak.

Katanya, bayaran yang dibuat bermula Isnin ini membabitkan murid Tahun 2 hingga pelajar Tingkatan 5 sesi 2022/2023 yang akan memulakan persekolahan pada 21 Mac depan.

“Oleh itu, murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 dalam kalangan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah yang sedang dalam sesi persekolahan bagi tahun 2021/2022 layak untuk menerima bantuan tersebut.

“Sementara itu, bagi murid Tahun 1 yang akan mula mendaftar masuk sekolah pada 21 Mac 2022, pemberian BAP akan dilaksanakan selepas proses pendaftaran selesai,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, bagi sesi persekolahan tahun 2022/2023, kerajaan bersetuju meningkatkan kadar BAP kepada RM150 seorang murid atau pelajar berbanding RM100 sebelum ini.

“Manfaat bantuan ini akan diterima oleh seramai tiga juta penerima BAP dalam kalangan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah,” katanya

Pemberian BAP akan dibuat secara tunai atau dikredit ke akaun bank bagi murid yang mempunyai akaun bank.

Katanya, jika pemberian secara tunai, pengagihan akan dilaksanakan di sekolah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“KPM yakin pemberian BAP ini akan dapat membantu ibu bapa/penjaga membuat persiapan awal anak-anak untuk memulakan persekolahan bagi Sesi Akademik 2022/2023.

“KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|