Mangsa paragliding sangkut pokok, selamat diturunkan

Mangsa paragliding sangkut pokok, selamat diturunkan

Kota Kinabalu: Pengemar sukan paragliding yang tersangkut lebih 10 jam di atas sebatang pokok, di Bukit Kokol, Menggatal, di sini, sejak tengah hari semalam, berjaya diselamatkan, malam tadi.

Mangsa berusia 35 tahun yang tersangkut di pokok setinggi 30 meter itu berjaya dibawa turun pada jam 10.13 malam oleh pasukan operasi bomba.

Mangsa diberi rawatan oleh pasukan EMRS.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa yang berjaya diturunkan didapati mengalami beberapa kecederaan ringan di badan.

Katanya, pasukan bomba kemudiannya mengiringi mangsa bergerak ke Pos Kawalan yang terletak sejauh 2 kilometer dari lokasi mangsa terjatuh dan tersangkut.

Mangsa menjamu selera sebaik tiba di pos kawalan bomba di Kampung Kokol, Manggatal.

“Mangsa seterusnya diberi rawatan oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di Pos Kawalan sebelum dihantar ke rumah penginapan mangsa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.15 tengah malam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari semalam, mangsa yang melakukan aktiviti luncur udara dipercayai gagal mengawal payung terjun kendaliannya sebelum tersangkut di atas pokok berkenaan.

Pasukan bomba yang menerima panggilan kecemasan pada jam 12.12 tengah hari kemudiannya mengerahkan 22 anggota dan pegawai termasuk Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) ke lokasi mangsa tersangkut.

Operasi menurunkan mangsa berjaya dilakukan dengan bantuan peralatan dron daripada kelab Dron D’Bayu yang turut hadir membantu di lokasi.

Difahamkan, dron berkenaan digunakan untuk menghantar tali dan peralatan diperlukan kepada lelaki terbabit sebelum operasi menyelamatkan mangsa dijalankan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|