Rempuh penghadang jalan, satu maut, dua cedera

Rempuh penghadang jalan, satu maut, dua cedera

Penampang: Seorang wanita berusia 41 tahun maut selepas kenderaan dinaiki merempuh penghadang jalan di Jalan Penampang Kinarut berhampiran Padimas Point, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, dua lagi rakan mangsa berusia 24 dan 26 tahun bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.44 pagi.

Katanya, seramai sembilan pegawai dan anggota bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan sebuah kereta BMW yang terbabas sendiri dan dua mangsa terselamat dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi.

“Pasukan bomba kemudiannya mengeluarkan seorang lagi mangsa yang tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) menggunakan ambulans untuk menerima rawatan susulan.

“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.50 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|